Aishah Sofea duduk dipenjuru kepala katil. Fokus matanya terarah kepada jari-jemari kakinya yang menguis karpet nipis di dalam biliknya. Kotak fikirannya bermain-main dengan perasaannya yang berkecamuk. Ya Allah! lantunnya dalam hati. Kenapa hati ini selalu berdetak hebat jika sesuatu perkara berlaku dalam hidupku. Aku harus mengakui Qada dan Qadar bahawa ibuku sudah tiada. Matanya terpejam sejenak cuba mengimbau kenangan indah hidup bersama ibunya dahulu sebelum kehidupan itu diragut dengan kenyataan bahawa ibunya adalah pengedar dadah.
Sekejap lagi , jenazah ibunya yang dibawa dari Penjara Wanita Kajang akan tiba. Aishah Sofea menahan sebak di dada. Sejak kecil dia sudah mengharungi kehidupan sebegini maka menerima suratan takdir yang memang sudah diketahui bahawa nasib ibunya akan ke tali gantung dia sudah bersedia. sama sekali. Ayah kini di Pusat Serenti. Rasa ralat dirinya tiada siapa saat ini selain Mak Usu dan Pak Usunya. Mujur dua orang insan yang paling dia rapat ini membantunya sejak kecil menguruskan kehidupannya yang terkontang-kanting tanpa kedua ibubapanya.
Sesekali dia menyentuh dadanya. Sudah 10 tahun peristiwa ini berlaku. Ah! jika aku kenal siapa penderma hati ini pasti ku cari dan bertemu sejenak untuk mengucapkan terima kasih. Siapa penderma yang baik hati, saat aku sengsara berhadapan maut dia datang dengan izin Allah S.W.T memberi kehidupan kepadaku. Sungguh mulia hati penderma hatiku ini.
" Aishah , kenapa anakku ? " Mak Usu yang terjengul di muka pintu bilik Aishah tertanya-tanya dengan tingkah anak saudaranya yang diam tidak berkutik. Adakalanya menyentuh dada seperti menahan kesakitan. Apa hati penderma itu tidak sesuai dengan Aishah. Tetapi...sejak 10 tahun dulu, Aishah tidak mengalami sebarang komplikasi dengan hati barunya. Kenapa sudah menginjak 18 tahun, gadis sunti ini mula menunjukkan tanda-tanda tidak selesa dengan keadaan diri sendiri.
" Aishah tak apa-apa. Mak Usu jenazah arwah ibu dah sampai nanti beritahu Aishah " Aishah Sofea memandang sayu wajah Mak Usunya yang berkedut seribu dimamah usia.
" Aishah tak nak keluar . Ramai orang datang ziarah "
" tak apalah, Aishah tak selesa dengan Kak Bedah tu..." Aishah Sofea cuba mengelak dari bertemu dengan Kak Bedah yang merupakan mulut tempayan Felda Seri 2. Pelbagai tohmahan dan fitnah yang melibatkan keluarganya datang dari Kak Bedah. Memang ibubapanya jahat tetapi sebagai anak dirinya dijadikan sasaran cacian dan umpatan setiap kali dia melangkah keluar dari rumah.
" kan Mak Usu dah pesan dekat Aishah, pekakkan telinga kalau orang kampung cakap apa-apa pada Aishah"
" Aishah kadang-kadang tak tahan, Aishah manusia Mak Usu. Bukan robot. Kadang-kadang Aishah rasa nak keluar dari Felda ni, nak mulakan hidup baru lepas ni "
" Aishah nak pergi mana ? Takkan nak tinggalkan Mak Usu "
" Aishah dapat tawaran belajar. Aishah nak tolong keluarga Mak Usu pulak. Aishah nak tunjukkkan lepas belajar, Aishah boleh berjaya dapat kerja "
" tapi..." Mak Usu seakan membangkang permintaan Aishah.
" jenazah dah sampai ! " Sahut orang kampung.
Aishah Sofea menyambut huluran tangan orang kampung yang balik selesai menziarahi pusara arwah ibunya.
" bila ayah kamu tu nak keluar dari pusat serenti ? ini sampai ibu kamu tu dah kena kebumi " selar Kak Bedah sambil mengibas selendang yang terhurai dari simpulan. Agak panas cuaca sekarang ditambah lagi dengan bahang yang menusup di rumah kayu milik Aishah Sofea.
" Aishah tak tahu " jawab Aishah endah tidak endah. Tumpuannya lebih kepada tetamu yang silih berganti ingin balik.
" kau jangan buat tak tahu, aku datang sini pun bukan apa...nak beritahu ayah kau tu ada ada hutang dekat suami aku sampai seribu. Nasib baik ayah kau yang berhutang kalau arwah ibu kau, hmm...roh tergantung antara..." \
" cukup!!! " jerit Aishah terus meluru masuk ke dalam rumah.
" apa kau cakap dengan dia, Bedah! Kau suka sakitkan hati dia " Mak Usu menghampiri Kak Bedah yang tersenyum sungging.
" aku cuma cakap si Din tu ada hutang dengan suami aku. itu aje..."
" mak...janganlah cari pasal. Kita balik. Kamal nak balik ni..." Kamal yang seusia dengan Aishah Sofea memujuk emaknya supaya balik.Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi. Hutang itu tidak seberapa tetapi sengaja dikecohkan sampai ke telinga orang kampung. Maafkan aku Aishah! Kesal Kamal apabila mengenangkan sikap emaknya menyebabkan Aishah akan berjauh hati dengannya. Betapa dia memuja gadis itu dalam diam tetapi sikap emaknya membuatkan gadis itu tawar hati untuk berhubung dengan dia lagi
" kata nak balik! Yang kamu mengelamun tengok rumah budak ni kenapa ? " Kak Bedah menarik cuping telinga anak lelakinya membuatkan Kamal mengikut langkah emaknya.
" Kau jangan ambil hati dengan emak aku tu..." pujuk Kamal apabila bertandang ke rumah Aishah Sofea keesokan paginya. Aishah yang baru mengemas rumah terkejut dengan kedatangan pemuda ini. Kamal, bekas kawannya, itu layak dipanggil apabila menyedari Kak Bedah tidak menyukai anaknya berkawan dengan dirinya.
" macam mana aku tak ambil hati. Mak kau cakap macam tu, mustahil aku tak terasa. Tapi...aku okey sekarang. Kau tak payahlah sampai datang sini sepatutnya " Aishah Sofea tersenyum manis supaya Kamal berpuas hati dengan respon jawapannya.
" berapa hutang ayah kau dekat bapak aku sebenarnya ? " tanya Kamal jauh di sudut hatinya ingin membantu jika mampu.
" seribu " jawab Aishah sambil memandang Kamal yang berdiri di sudut tiang luar rumah.Agak jauh jaraknya dengan Aishah yang berdiri di muka pintu rumah. Dia tidak berani membenarkan Kamal masuk ke dalam rumahnya. Kamal bukan sesiapa dengan dirinya.
" kawin ajelah dengan aku..." sengaja Kamal melontarkan kata-kata sebegitu. Aishah Sofea tergelak. Baginya hanya gurauan saat hatinya tengah lara kesunyiaan.
" kenapa kau gelak ? "
" kau kan suka bergurau sejak dulu. "
" aku serius "
" kahwin dalam usia muda macam ni..." aju Aishah sambil membetulkan tudung di kepala. Saat matanya bertaut dengan mata Kamal, dia menundukkan pandangan serta-merta.
" selagi kita tinggal dekat Felda, berkahwin dalam usia muda tak jadi persoalan " Kamal kian berani ingin menapak satu anak tangga menuju ke muka pintu di mana Aishah Sofea berada.
" lepas tu, teruskan warisan keluarga dengan menoreh getah. Aku nak keluar dari sini Kamal. Aku nak berjaya sebelum kembali ke sini . Aku nak tengok dunia luar. Kau tak nak sambung belajar Kamal ? " langkah Kamal terhenti.
" siapa cakap aku tak nak sambung belajar. Aku akan sambung tapi...aku nak kahwin dengan kau dulu " lantun Kamal, dahinya berkeriut menandakan dia benar-benar serius ingin memiliki Aishah Sofea. Gadis paling cantik di Felda Seri 2 .
" kau tahu tak, kalau kau memiliki aku bermakna kau memiliki hati aku yang palsu ni " Aishah Sofea menyentuh dadanya. Semangat ingin mengetahui siapa penderma hatinya sepuluh tahun dulu kembali menjengah pemikirannya.
" kenapa ? "
" kau tahukan aku sakit "
" itu dulu, kau dah sihat "
" aku tak nak...kau akui aku sihat. dan...aku tak nak jugak keluarga kau malu dengan aku. Kamal fikirlah secara matang , mustahil keluarga kau akan terima aku secara keseluruhan. Kau fahamkam maksud aku. Keluarga aku bukanlah terpuji sikapnya. Suatu hari nanti pasti emak dan ayah kau ungkit kehidupan aku. Maaf aku takkan ambil tahu kata-kata kau " Aishah terus menutup pintu rumah.
" Aishah! Aishah ! kenapa kau macam ni ? Kau tak patut buat aku macam ni " laung Kamal dari luar. Aishah membiarkan sahaja perangai Kamal. Dia sudah biasa berbalah pendapat dengan pemuda ini. Baginya apa yang dibincangkan tadi perkara remeh yang sudah dibicarakan ulang kali apabila berbual dengan Kamal. Biarkan...

No comments:
Post a Comment